Monday 21 January 2013

Cinta Perisa Dia

Cinta Perisa Dia
  Lynn Dayana

Sinopsis
Cinta itu mana boleh dipaksa. Ditolak, pasti jatuh. Dibuang, pasti sakit. Bagi Hadif Imran, cinta boleh ditangguh sehingga satu detik yang pasti. Dia sudah dewasa, biar dia yang menentukannya. Perisa vanila, coklat atau strawberi... itu haknya.

Bagi bonda, dia mahu menantu. Bonda impikan cinta berperisa iman, bersalut takwa dan dihiasi kasih sayang untuk anaknya. Hadif jadi risau bila bonda sudah naik angin! Bagaimana kalau yang dipilih bonda berwajah ratu, berlesung pipit, tetapi sengau? Atau pandai mengaji, mahir memasak, tetapi rongak giginya? Hadif buntu, bonda naik hantu! Cinta berperisa apa agaknya di akhir cerita?

Rancangan Mencari Menantu bonda rancangkan bersama TV9. Hadif resah dan kecut perut melihat calon menantu bonda. Ada yang terlebih manja, ada yang garang menggoda dan ada yang bahaya untuk dimiliki! Ketar di kaki dilindungi dengan senyuman. Bonda merencana, Hadif susun strategi. Namun kalau sudah cinta... jodoh datang juga tanpa dipaksa.

Uda & Dara

Uda & Dara  
Aisya Sofea

Sinopsis
Sekian lama terpisah kerana masing-masing mengejar cita-cita, tidak mungkin Siti Mariam menerima cinta Izzat Hilman. Kenangan lalu yang sangat menghiris hatinya sentiasa bergentayangan di hadapan mata. Namun, si uda tidak putus asa. Si dara harus dimiliki walau apa pun yang terjadi.

Ya, mungkin ada rasa rindu di sebalik rasa bencinya terhadap lelaki itu. Namun, dalam diam, Siti Mariam masih tidak mampu membuang perasaan sayang pada Izzat Hilman. Ah, bila memikirkan wasiat arwah ibu lelaki itu, dia jadi nanar. Apatah lagi, kemunculan Khalidah bagai dirancang untuk memisahkan mereka. Hubungan boleh diteruskan, tetapi Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh bulan. Muktamad. Berat sungguh syarat itu! Namun, si uda tidak peduli. Si dara perlu akur cinta sejati mereka. Bagi Izzat Hilman, jodohnya bersama Siti Mariam sangat kuat.

“Abang cuma minta Mar bagi peluang sekali ini sahaja lagi, dan abang takkan sia-siakan Mar.”

Hati Kala Cinta

Hati Kala Cinta
Hani Fazuha
Sinopsis
MEREKA rapat kerana berjiran, tetapi rencah hidup mereka adalah pertengkaran. Kata Zhafran, Lya itu perempuan brutal yang sepatutnya menjadi lelaki, namun tersalah dilahirkan sebagai perempuan. Kata Lya pula, Zhafran itu macam Hitler, suka memaksa orang mengikut kata dia. Kemunculan Nurin menarik perhatian Zhafran, tetapi hati Lya pula tiba-tiba jadi penasaran. Entah sejak bila, ada rasa cinta bertapak dalam hatinya. Namun, semua sudah terlewat kerana Zhafran telah memilih Nurin sebagai suri hidupnya.

Saat yang sama, Hareez pula datang bertandang dan kehadiran lelaki kacak berlagak sombong itu menjengkelkan hati Lya. Kali pertama bertemu, dia tahu ada sebuah kebencian di dalam sepasang mata milik Hareez. Tetapi, apa akan jadi jika kebencian Hareez itu tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya? Apa pula yang akan berlaku bila Zhafran mula sedar dia sebenarnya mencintai Lya? Paling rumit, Lya harus memilih satu antara mereka dan perlu tinggal sebumbung di dalam sebuah keluarga.

Kadangkala kuasa memilih bukan di tangan kita, tetapi kita tidak seharusnya menyerah kalah saat takdir menetapkan pilihannya. Kalaulah aku punya berkeping-keping hati, akan kurelakan yang satu itu pergi mengikut Zhafran tanpa perlu kembali lagi

Fiksyen 302

Fiksyen 302  
Ramlee Awang Murshid

Sinopsis
LAN LANI, JIMMY YEOH, PRAKASH KUMAR dan FARID JA’AH membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka menghubungi polis dan melaporkan bahawa hukuman mati telah dilaksanakan. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat. Bagaimanapun, motif sebenar setiap pembunuhan sangat kabur. Andai dipadankan dengan psikologi manusia, ternyata mereka yang mengaku bertanggungjawab bukanlah orang yang waras. Kes-kes itu tidak dapat diselesaikan.

Tahun 2032 - seorang peguam, Rita Yuzalina menyertai projek rahsia yang dikendalikan oleh dua orang pakar psikiatri bertujuan untuk merungkaikan misteri pembunuhan itu. Namun, ia disabotaj. Pertukaran watak berlaku. Lebih menakutkan... tragedi lampau berulang lagi. Lebih dahsyat daripada apa yang dijangkakan!
RAMLEE AWANG MURSHID dalam karyanya kali ini mengingatkan bahawa rasa percaya merupakan perangkap yang boleh mengancam nyawa. Apabila tersedar sahaja, maut sudah di hadapan mata. Melarikan diri adalah perkara mustahil. Menyerah begitu sahaja menyebabkan kematian yang sia-sia. Cara paling selamat... jangan sesekali percaya! Sesiapa pun tidak terkecuali daripada pertuduhan, prasangka dan dijadikan suspek utama pembunuhan.

Influenza Cinta

Influenza Cinta
 Levis Delisya

Sinopsis
Tragedi yang meragut seluruh ahli keluarganya meninggalkan Yasmin sebagai pewaris tunggal Hotel Eden Garden. Lalu bermulalah episod kembara mencari suami di mana Yasmin perlu memilih calon paling layak sebagai peneraju hati dan hotelnya. Kebetulan, calon terakhir iaitu Ezad Hakimi merupakan cinta pertama Yasmin. Namun bagi Ezad Hakimi, Yasmin sekadar bayangan silam yang ingin disingkir ke tepi. Sementara kisah Ezad Hakimi dan Yasmin penuh dengan sengketa dan misi dendam yang belum terlaksana, Zul Khuzaimey hadir dengan perisa cinta yang manis bergula. Siapa yang harus Yasmin pilih? Ezad Hakimi yang tawar tak berperisa atau Zul Khuzaimey yang pernah menyandang gelaran Mr. Kasanova?

"Biarpun saya marah, saya caci, maki dan pukul awak, awak tak boleh tinggalkan saya!" -Yasmin

"Apa bezanya aku piilih untuk terus menderita kalau memang ditakdirkan aku takkan bahagia.." - Ezad HAkimi

"Lekaslah buka matamu dan lihat siapa sebenarnya yang mencintai kau , Min" - Zul Khuzaimey

Bukan Kerana Sayang

Bukan Kerana Sayang
  Amiza Anaz

Sinopsis
“Terimalah lelaki yang mencintai kita lebih dari–pada kita mencintai dia.” Bolehkah ungkapan ini digunakan oleh Qaireena Asyikin untuk menerima semula huluran kasih Johan?

Lelaki itu pernah dicintainya suatu waktu dahulu, namun dia terpaksa berkorban kasih apabila Johan memilih kakaknya, Qairun Annesa sebagai isteri tanpa sebab yang pasti.

Kini, Qairun Annesa telah kembali kepada-NYA. Kemelut membelenggu diri apabila Johan mula menagih kasihnya. Desakan daripada orang tuanya agar menerima Johan juga benar-benar membuatkan dia tersepit.

Bagi mengelakkan diri, Qaireena mengambil jalan mudah. Dia menggunakan nama ketuanya, Kamil Ihsan sebagai kekasih samaran tanpa pengetahuan empunya diri. Namun, masalah mula timbul apabila tembelangnya pecah.

Kamil Ihsan yang bersikap ‘bossy’ menambahkan lagi tekanan Qaireena. Kedua-dua lelaki itu benar-benar menghuru-harakan hidupnya yang selama ini tenang tidak berkocak. Siapa sangka, dalam kemelut rasa itu rahsia yang tersimpan bertahun-tahun lamanya, terungkai satu demi satu.

Mampukah Qaireena Asyikin memberi kata putus yang boleh menggembirakan semua pihak?

Cucur Bawang & Kopi 0

CUCUR BAWANG & KOPI ‘O”
HASRUDI JAWAWI

Sinopsis
Siapa sangka, cucur bawang telah mempertemukan mereka dalam satu ‘sketsa perang’ di tepi jalan. Dari insiden itu mereka bagai dijodohkan untuk bersua lagi. Kerana terdesak dan kabur mata dengan gaji yang ditawarkan, Rudiana terpaksa berkahwin dengan Iskandar dalam rahsia atas dasar kerja semata-mata. Bila sudah duduk serumah...
Tarikh Terbit: 15 Jan 2011
Siapa sangka, cucur bawang telah mempertemukan mereka dalam satu ‘sketsa perang’ di tepi jalan. Dari insiden itu mereka bagai dijodohkan untuk bersua lagi. Kerana terdesak dan kabur mata dengan gaji yang ditawarkan, Rudiana terpaksa berkahwin dengan Iskandar dalam rahsia atas dasar kerja semata-mata.

Bila sudah duduk serumah, mulalah berputik satu perasaan aneh dalam hati mereka walaupun masing-masing masih keras kepala. Namun, egois masing-masing terlalu tinggi melampaui Gunung Everest. Perkahwinan mereka hanya sekadar di atas kertas dan terus menjadi rahsia.

Kemunculan Khairulnizam membuatkan Iskandar gelisah bila kawan baiknya itu tertarik hati dengan Rudiana, isterinya yang mula dicintainya tanpa sedar itu. Mampukah Iskandar melihat isterinya menjadi kekasih kawan baiknya sendiri?